Monday, October 16, 2006

Malam Ramadhan 25

Kehidupan serasa sepi, sunyi tanpa bahan bacaan. Bukan tidak ada buku-buku bahasa Inggeris, tetapi aku mengidamkan novel-novel melayu ilmiah. Cepat-cepatlah hendaknya buku-buku kiriman Ayah tiba. Mujur Ayah tidak mengikutkan kehendak aku agar dihantar melalui jalan laut. Jika tidak, nasibya, sebulan dua lagilah sampainya, seperti pesanan baru dari Ujana Ilmu.

Salah aku juga. Hendak berjimat konon-kononnya. Kemudian kepasrahan sendiri, seolah-olah menanti buah durian gugur gamaknya [nanti aku ceritakan pengalaman sewaktu kecil masuk dusun durian pagi-pagi mengutip durian bersama Ayah]. Kini aku sedang mengumpul senarai buku-buku idaman yang baru. Salah satunya 'Rindu Ibu' oleh Pak Samad. Ia merupakan kumpulan puisi kanak-kanak. Ah. Kekaguman pada Pak Samad memekar. Eh, bukan senang tau untuk seorang dewasa menulis untuk tatapan anak-anak kecil! Pak Samad memang penulis serba boleh! Syabas juga kepada Saudara Helmy kerana tegar memperjuangkan karya-karya Pak Samad melalui Wira Bukit.

Aku juga sudah jumpa jalan penyelesaian mendapatkan karya-karya Habiburrahman El Shirazy. Akan aku minta bantuan adik teman serumah yang menuntut di Makasar agar membawakan 'Ayat-Ayat Cinta,' 'Ketika Cinta Berbuah Surga,' Di Atas Sajadah Cinta' dan 'Pudarnya Pesona Cleopatra' pulang bersama ke Malaysia kelak.

Memang niat asal tidak mahu pulang musim panas tahun hadapan. Bukan apa, mahu merasa terik mentari ekuinoks di hemisfera utara. Kepingin menyaksikan kemeriahan sambutan Fourth of July dengan mata kepala sendiri. Juga berhajat ke Stanford [sengaja mahu merasa belajar di sekolah Ivy League] mengambil summer class di sana.

Namun, kata Cik Su, pulanglah walaupun sekejap. Hidup dalam persekitaran tidak Islamik, kadang kala aku terleka. Pulang, bukan sekadar melunas rindu pada keluarga, juga mengingatkan diri kepada akar agama dan budaya.

Kepulangan tempoh hari misalnya, mungkin sekali pandang adalah sangat tidak produktif [jadual tidur umpama kelawar, terperap di rumah - tonton tv - makan - bergaduh dengan adik] namun punya hikmah tersendiri.

*

I'm glad that I came out of my shell. Because just by being the real me, I earned respect from people who worth earning respects from. And they trust me enough to give me responsibilities. Suddenly, I'm not just another idiotic, shallow-minded and boy-crazy girl in their eyes. And guess what, I don't feel that way either - at least not anymore.

*

Ayah, Emak dan adik-adik bakal bertolak pulang meraikan Aidilfitri di Bukit Marak pagi Sabtu ini. Pak Long dan Kak Zan juga. Abang Di dan Kak Ida khabarnya pulang sehari lebih awal. Penerbangan Che Chik juga pada hari yang sama. Cuma Kak Sah beraya di rumah mertua di utara. Tak apalah, sekurang-kurangnya, rumah Mek dan Wan kembali ceria denga gurau senda dan gelak ketawa seisi keluarga.

Rindu sungguh berbuka beramai-ramai di kampung. Andai sehari sebelum raya, menu pasti ada tomyam atau sup kaki lembu. Kerabu sarang [sejenis rumpai laut dimakan bersama kuah ala nasi kerabu dan sambal kelapa - ada rasa masam-masam sedikit -sangat enak!]. Telur itik masin. Budu dan cili api beserta perahan asam limau nipis dibelah lintang.

Untuk kanak-kanak [yang besar di bandar dan tidak makan ulam-ulaman] ada ayam berlada. Kuih-muih pelbagai - tepung pelita, seraban, nekbat [lamanya tidak ketemukan!], akok, cendol [dihirup bersama ais dan air sirap bergula - aduh, nikmat!], buah tanjung dan jala emas.

Semua makan bersila di atas lantai beralas tikar besar. Kadang kala jika terlalu ramai, sampai dua kali berhidang. Nasi ditanak dua periuk kapasiti sepuluh cawan beras - selalunya terpaksa dicuri awal-awal untuk kucing peliharaan.

Malam raya? Aku pembida tender mencucuk sate tunggal. Tiada cabaran. Juga tiada pembantu. Dulu, sebelum Kak Sah berkahwin, kami sama-sama bergelumang dengan daging ayam (6 ekor)/lembu (5 kilo) berperap rempah ratus. Kini dia sibuk dengan dua anak kecil. Che Chik bantu-bantu juga, namun dia selalunya sudah lelah sepetang menumbuk kacang tanah goreng dan membantu Emak menyediakan kuah nasi himpit. Sepeninggalan aku ini, entahlah siapa mengambil alih posisi.

Aku tidak berjalan-jalan pada hari raya. Pernah satu tahun, kasut raya tidak dipakai sehinggalah Syawal ketiga. Cuma menziarah pusara Chek dan Tok serta singgah di rumah Pak Mat di sebelah kawasan perkuburan. Selebihnya, aku di rumah, menolong Emak memastikan minuman dan juadah untuk para tetamu tidak surut, menonton rancangan-rancangan istimewa hari raya di kaca tv [dihalau masuk ke dapur jika ada kunjungan] serta mengutip duit raya [peraturan keluarga kami, selagi tidak bekerja selagi itu layak menerima. Jika sudah makan gaji, maka menjadi kewajipan untuk memberi pula].

Dulu, saat paling berat adalah untuk meninggalkan desa setelah puas berhari raya dan kembali ke destinasi masing-masing. Ayah dan Emak ke Ipoh. Abang Lan dan Kak Zan ke Raub. Abang Di dan Kak Ida, Che Chik, Kak Sah dan Abang Mizan ke Kuala Lumpur.

Tetapi bagi aku, meraikan kedatangan Syawal berseorangan nun beribu-ribu batu di perantauan lebih mengharukan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

P.S Manchester United lawan Kobenhavn di Old Trafford [Oktober 17, 1230, ESPN 2 - Perlawanan terakhir Pusingan Kelayakan Peringkat Kumpulan F - kredit kepada jiran kerana mengingatkan]

0 comments: