Tuesday, October 17, 2006

Ramadhan 25 - Tiga Kosong

Manchester United menang bergaya 3 gol tanpa balas ke atas Kobenhavn FC dari Denmark dalam perlawanan ketiga Pusingan Kelayakan Kumpulan F Liga Juara-Juara Eropah 2006/2007. Ketiga-tiga gol masing-masing dijaringkan oleh Paul Scholes (39''), John O'Shea (46") dan Kieran Richardson (82").

Walaupun turun tanpa pemain-pemain bintang seperti Rio Ferdinand, Ryan Giggs dan Gary Neville yang dilanda krisis kecederaan, United bermula garang. Louis Saha memecut bersama bola ke dalam kotak penalti Kobenhavn seawal minit pertama. Namun percubaan satu lawan satu oleh Saha berjaya diselamatkan oleh Jesper Christiansen.

Christiansen membuktikan kehebatannya sebagai pemain terbaik Kobenhavn dalam perlawanan ini dengan menyelamatkan percubaan demi percubaan bahaya oleh gandingan para penyerang United [Saha, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney].

Pada minit ke 17, Cristiano Ronaldo melorongkan bola dari sudut kiri kawasan gawang Kobenhavn ke arah Wayne Rooney yang tidak dikawal. Sayangnya, Rooney sedikit terkebelakang dan gagal menguis bola ke dalam jaring yang terbuka luas.

United tidak berputus asa menggandakan serangan, namun pertahanan Kobenhavn yang didalangi Chriatiansen terlalu kebal. Sehinggalah Saha menyepak pendek kepada Paul Scholes pada minit ke 39. Pemain-pemain Kobenhavn meluru mengekang Saha, sekaligus membuka peluang keemasan kepada Scholes untuk merembat deras ke sudut kiri pintu gol dari luar kotak penalti. Christiansen tersalah percaturan, sedikit terlewat merebahkan badan.

United 1, Kobenhavn 0.

Seminit kemudian, Christiansen diuji lagi. Kali ini oleh tandukan perlahan Cristiano Ronaldo yang mudah ditampan keluar.

Permainan rancak seawal wisel sepak mula separuh masa kedua. Rooney [yang memegang lilitan kapten], menerima bola dari tengah padang gesit meluru ke dalam kawasan lawan. Namun bola tinggi cekap ditanduk keluar pertahanan Kobenhavn. Ronaldo menyempurnakan sepakan sudut, cantik melencong ke hadapan gol. John O'Shea, kebetulan di posisi yang betul, menguis dengan kaki kiri. Christiansen tertewas lagi.

United 2, Kobenhavn 0.

Kobenhavn belum patah semangat meskipun ketinggalan dua jaringan. United juga tidak buru-buru meraikan kemenangan. Oleh itu tidak hairanlah jika kedua-dua pasukan bersungguh-sungguh mencari penyudahan di samping kejap mengawal kawasan masing-masing. Kobenhavn dihidangkan beberapa peluang keemasan, terutamanya percubaan-percubaan berani oleh Hutchinson dan Razak Pimpong. Namun, Edwin Van Der Sar bertindak cekap menafikan gawangnya dibolosi.

Saha dan Michael Carrick kemudiannya dikeluarkan. Kasihan Saha, sebetulnya. Sentuhannya kurang menjadi malam ini. Kemasukan Alan Smith [kemunculan pertama setelah pulih daripada patah kaki February lalu] dan Kieran Richardson [aku selalu menyangka dia Theo Walcott] merancakkan permainan sedia menarik.

Jika Alan terlepas dua peluang cantik memahat nama selaku penjaring, Kieran tidak mensia-siakan hantaran dari tengah padang untuk menyepak deras ke arah gawang. Christiansen menguis, namun bola terlalu laju melantun, langsung meleret perlahan melepasi garisan gol [sungguh anti-klimaks].

United 3, Kobenhavn 0.

Sekarang, barulah selamat jika United mahu bermain sambil lewa. Tetapi mereka tidak. Apatah lagi dengan kesungguhan Kobenhavn yang tidak kunjung padam. Berjuang, biar sehingga ke titisan peluh terakhir!

Manchester United kini mengungguli Kumpulan F dengan 9 mata dari 3 perlawanan. SL Benfica tewas 3-0 kepada Celtics [apa jadi kepada gandingan Simao Sabrosa dan Nuno Gomes?], sekaliigus meletakkan Celtics dari Scotlad di tangga kedua dengan 6 mata dan Benfica serta Kobenhavn masing-masing dengan satu mata di tangga ketiga dan keempat.

Cristiano Ronaldo sekali lagi dinobatkan sebagai Man of the Match atas undian penonton [aku secara peribadi mengangkat Jesper Christiansen, biarpun dia bolos tiga kali]. Meminjam kata-kata Sdr Helmy Samad, juga peminat Red Devils;

"Cristiano Ronaldo coming of age has started to entertain."


P.S Sedikit statistik, percubaan menjaringkan gol oleh United sepanjang 90 minit adalah sebanyak 26 kali, Kobenhavn 14 kali. Some match, aye?

0 comments: