Wednesday, October 18, 2006

Ramadhan 26 - Segregasi

Segregasi.

Pada era kolonial, ada segregasi geografi dan pekerjaan. Orang Melayu di kampung-kampung, jadi petani, nelayan dan penternak. Orang Cina di bandar-bandar, jadi peniaga, pengusaha dan pemiutang. Orang India di estet-estet, jadi penoreh.

Para era Dasar Ekonomi Baru (DEB), ada segregasi kekayaan. Maka terbentuklah golongan Orang Kaya Baru. Malah disebut-sebut juga ketika inilah lahir generasi Melayu baru. Aih, sebelum ini ada Melayu lama ke? Yang pasti, segregasi harta ini hanya membantu sesetengah golongan masyarakat saja. Bangsa bukan bumiputera terus kaya. Bumiputera yang kaya pun, lebih ramai yang lupa diri daripada membantu golongan kurang berada.

Segregasi politik juga ada. Tak perlu pergi jauh-jauh. Kita teliti politik Melayu pun sudha lebih dari cukup. UMNO dan PAS. Malah UMNO sendiri pernah terpecah. Team A lawan Team B. Tengku Razaleigh dan Semangat 46-nya. Selepas itu kita ada KeADILan. Terbaru, penyokong Tun Mahathir versus penyokong Pak Lah. Lengkaplah 'cinta' empat segi politik Melayu.

Segregasi ideologi? Ini rapat dengan fahaman politik barangkali. Golongan masjid. Golongan aspirasi [macam merujuk fenomena pilihan raya kampus IPTA tempatan pula!]. Oh, golongan urban. Golongan terbuka. Apa-apalah. Entah-entah lain maksud terbuka yang difahami!

Tidak ketinggalan, segregasi sastera. Kelompok intelek lawan kelompok picisan. Menariknya tarik-tarik rambut dunia penulisan tanah air, sampai ada peguambela dari seberang menghulur pendapat tidak diminta. Eh, masalah dalam kain kita, dia sibuk-sibuk pula masuk campur?

Heh. Isu pemilihan pembimbing ke MASTERA beransur reda berkocak kembali. Inilah natijahnya apabila orang luar suku sakat yang tiada pengetahuan latar bersuara. Sepatutnya, selaku pihak ketiga, awak berkecuali. Cuba tautkan kembali mana-mana yang relai. Ini tidak, menyimbah minyak ke unggun api sedang marak!

Segregasi sastera bukan salah penulis. Tetapi perbuatan pembaca. Sastera picisan tidak akan wujud jika tiada permintaan. Jadi kita salahkan khalayak?

Menuding jari memang mudah. Tapi cuba renung-renungkan. Membaca bahan picisan tak salah, asalkan tahu membezakan. Kadang kala, perlu juga menghadam bahan-bahan ringan setelah tepu kepala dengan perkara-perkara lain yang lebih perdana. Malah, sastera picisan [ini pendapat peribadi], mungkin jalan terbaik memupuk budaya membaca di kalangan belia kita yang beransur-ansur hanyut bersama arus hedonisme pacuan Barat.

Tetapi jika sudah matang berfikir namun masih mahu memenuhkan tembolok minda dengan novel-novel cinta murahan? [Matang ke?]



P.S Segregasi - pengasingan (antara kelompok dengan kelompok lainnya), pemisahan, pemencilan
[Kamus Dewan Edisi Ketiga, muka surat 1208, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002]

0 comments: