Thursday, October 19, 2006

Ramadhan 27 - Dan Miller

Aku singgah di cubicle Dan Miller di Stratton Hall selepas kelas pagi tadi. Saja, lama tidak bersembang-sembang santai dengan bekas instruktor Nature and Human Values sewaktu di semester pertama dulu.

Seronoknya sesekali dapat berbual-bual dengan orang seni. Dan bercerita tentang pementasan ballet 'Giselle' yang ditonton bersama isterinya Jennifer di Denver Opera House baru-baru ini.

Tiketnya mahal, kata Dan, tapi berbaloi. Giselle mengangkat kisah cinta tiga segi antara gadis desa, pemuda kampung dan bangsawan Perancis. Bahagian pertama pementasan biasa-biasa saja, tetapi selepas intermission, wah, magis!

Dia juga sempat berkongsi pengalaman di daerah teater London, West End. Katanya, setengah jam sebelum pementasan bermula [selalunya jam 1930 atau 2000], tiket-tiket tidak terjual banyak. Agen-agen tiket akan 'melelong' di tepi-tepi jalan. Bukan sahaja harga yang ditawarkan rendah, malah pilihan pelbagai!

Alang-alang teringat, aku menjemput Dan dan keluarga ke acara International Day tahun ini. "I'll be there," janjinya. Nampaknya, kenalah bersungguh-sungguh berlatih menari. Malu Malaysia nanti!

0 comments: