Saturday, October 14, 2006

Ramadhan 23 - Kenangan

Sebentar tadi, aku berbual ringkas dengan seorang bekas teman sekolahan sudah hampir tiga musim terputus hubungan. Kami tidaklah rapat sangat dahulu, namun penglibatan dalam pasukan kuiz sehingga mewakili negeri ke peringkat sub-nasional telah membuka personaliti kami kepada satu sama lain.

Dia dari aliran sains tulen. Aku di kelas sains teknikal. Ada jurang antara kami. Selalu juga sikap berpuak-puak muncul (amalan ini berterusan ke KMB). Aku sering mengklasifikasikan dia sebagai pelajar 'bio' yang stereotaip; pintar, rajin, baik dan skematik. Tambah pula, dia naib ketua pelajar (terkejut juga apabila dia gagal memperoleh jawatan tertinggi itu!), murid kesayangan guru-guru dan dinobatkan tokoh pelajar mithali tahun itu.

Namun sebenarnya, dia seorang yang 'happy-go-lucky,' tidak ralat melawak dan sangat selesa untuk didampingi. Dia alim, pengerusi badan agama sekolah dan sering di surau. Saban kali dia mengimamkan solat Zuhur, Maghrib atau Isyak berjemaah, aku cukup suka. Kerana dia tidak 'mendera' ahli jemaah dengan bacaan-bacaan panjang. Seakan-akan memahami tuntutan jadual masa yang ketat.

Selari cita-cita, dia kini menuntut di salah sebuah sekolah perubatan di Persekutuan Russia. Tak sempat aku bertanyakan di mana, kerana dia meminta diri mahu ke masjid.

' Biasalah, imam katakan.'

Gurauan itu melontarkan ingatan ke daerah waktu musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2002. Dia sering memimpin jemaah berterawih. Aku rindu kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci, kelirihan rintihan tatkala memanjatkan doa dan kelantangan melaungkan selawat dan puji-pujian kepada Tuhan dan Rasul.

'Kalau rindu, datanglah ke sini.'

Pelawaan itu ikhlas. Tiada maksud tersembunyi. Namun aku terkesima, terjeruk rasa.

Ah, teman. Kalaulah kau tahu!

P.S Manchester United menang 3-1 menentang Wigan. Afni, thanks a lot for talking me out of whatever we talked about the other day!

0 comments: