Friday, October 13, 2006

Ramadhan 22 - Refleksi Masa

Perancangan.

Aku kekurangan elemen penting ini. Waktu berbuka lebih kurang tiga jam, hari ini giliran memasak, tetapi satu menu pun belum ada. Itu soal makanan, perancangan masa lebih-lebih lagilah. Minggu depan ada dua ujian bakal di hadapi dan dua kerja rumah bakal dikutip. Projek penilaian akhir semester. Soalan-solan kredit tambahan. Belum campur lagi tuntutan tugasan peribadi tidak bersifat akademik (tetapi berbentuk ilmiah juga).

Itulah. Siapa suruh ambil kelas banyak-banyak?

Pegangan aku begini. Lebih baik kepenatan setelah seharian sibuk bekerja. Jika tertidur sebelum jam sepuluh malam pun, ia terjustifikasi. Tetapi andai tidur petang kerana terlampau banyak waktu senggang?

Mati semut kerana gula. Aku pernah terdengar tetapi lupa di mana; Belia yang terlampau banyak waktu lapang akan terbunuh oleh kelapangannya itu. Aku pernah sengaja mengosongkan sehari suntuk untuk fokus menulis. Namun idea tidak kunjung datang. Sudahnya, satu hari terlepas tanpa sebarang hasil. Dikenang-kenang kembali, aduh, ruginya!

Aku bukanlah manusia yang hebat sangat dalam pengisian masa. Kerap kali bertangguh-tangguh juga (terutamanya untuk bangkit solat Subuh). Tetapi sekurang-kurangnya, alasan 'tiada masa' untuk tidak melakukan sesuatu sudah jarang-jarang terucapkan. Semua orang dikurniakan 24 jam sehari. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mencari jam kedua puluh lima. Berjaga malam. Bangun awal. Mencuri lima sepuluh minit antara kelas-kelas.

Alangkah mudahnya jika kehidupan di universiti seperti zaman sekolah menengah. Aku di sekolah berasrama penuh, maka jadual belajar diatur pentadbiran sekolah. Tiada istilah 'malaslah studi hari ni' kerana kelas-kelas prep adalah wajib. Waktu padat oleh aktiviti. Apabila meletak kepala di atas bantal pada malam hari, aku boleh tidur lena kerana puas hari penuh terisi.

Sekarang? Terus-terang, kadang kala terasa bersalah untuk melelapkan mata biar jam sudah dua pagi!

Pada aku, tidak perlu jadual waktu yang rigid. Aku lebih gemar merancang 'dalam kepala.' Contohnya, selepas ulangkaji Spanish, ulangkaji Statics. Kemudian buat practice exam sebelum langsaikan bonus problem. Perancangan dalaman ini penting bagi aku, agar ada sesuatu to look forward to. Jika tiada, mulalah nanar tanpa tujuan. Menonton tv juga adalah agenda yang dirancang terlebih dahulu. Sebab itu aku hanya menonton rancangan-rancangan tertentu (Grey's Anatomy, misalnya. Derek sudah meninggalkan Meredith!).

Ayah ada berkongsi formula 'watching tv just for the sake of watching.' Katanya, mula menonton sesuatu program di pertengahan. Kita tidak kenal watak, tidak faham plot, tidak tahu hujung pangkal intipati cerita. Kebosanan timbul selepas lima atau sepuluh minit. Kita akan meninggalkan kaca televisyen dan kembali menghadap tugasan yang belum selesai. Aku selalu cuba. Ternyata mujarab.

Oleh itu, aku berazam untuk merancang kemas-kemas itinerari kembara musim sejuk hujung tahun kelak. Enggan menjadi pengembara impulsif seperti pengembaraan ke kota New York tempoh hari. Biarlah kembara ini padat dan berisi. Entah bila akan berkesempatan (waktu dan kewangan) lagi!

0 comments: