Saturday, November 25, 2006

Sleeping Becky

Siapa Becky?

Kolumnis seni dari Le Parisien mengusul sungguh-sungguh. Aku mengerling Luc dan Ada di sudut koktel. Luc pura-pura tidak perasan, pantas menghabiskan segelas penuh wain putih sebelum gesa-gesa menarik Ada yang galak berbual-bual santai dengan beberapa sosialit lain ke lobi galeri.

Mademoiselle? Aku berpaling. Kolumnis seni masih menanti jawapan. Pen mata bulat sedia di atas helaian buku nota kecil warna putih.

Sudah masanya, mon cherie. Bisikan lembut maman sayup-sayup. Aku memejam mata.

Becky...Suara pecah. Ah. Becky...anak saudara saya!


Amelie Patrick-Sebastian
Jurufoto Profesional
mempersembahkan
"Sleeping Becky"



Foto 1
[Becky; Usia 2 Minggu]


Pangsapuri ala studio satu bilik lengang.

Sarah? Maman tertinjau-tinjau.

Peti televisyen terpasang tanpa suara. Vanessa Paradis melalak entah apa. Tin-tin aloi berlabel Coke bergelatakan. Cairan hitam berbusa oleh karbon dioksida mengecer. Sisa-sisa croissant sejuk terbiar. Di satu sudut, keping-kepingan kaca bertaburan antara tangkai mawar merah separa layu.

Dia tak ada. Luc membalas ringkas.

Rambut hitam ikal kusut masai. Kemeja tee lusuh berbau kumal. Botol hijau Heineken kejap dalam genggaman tinggal separuh. Puntung Silk Cut berasap di celahan jari. Maman berkerut dahi. Kami bertukar pandangan. Aku meluru.

Becky ada! Jeritku, langsung ghairah memetik punat kamera hitam putih tanpa silau dipinjamkan Pere. Wajah mulus bayi kecil berbedung terakam dari pelbagai sudut.

Tentulah. Ibunya tinggalkan dia sebagai cenderahati! Luc melaung dari luar.

Terbetik curiga, tangan ringan menolak pintu almari baju. Kosong. Laci meja solek. Kosong. Lugej besar di bawah katil. Tiada. Alat-alat kosmetik di atas sinki bilik mandi. Tiada.

Kak Sarah mana? Usulku jujur. Luc menepis tangan maman. Mata putih merah saga dijegil-jegil.

Dia dah pergi!


Foto 2
[Becky; Usia 4 Tahun]


Ami, satu lagi. Tolong!

Aku senyum paksa. Mengangguk. Silau kamera meledak. Ada menepuk-nepuk pipi. Terima kasih! Luc meraih Ada ke dalam pelukan. Mereka tertawa riang. Silau kamera meledak lagi. Aku perlahan-lahan mengundur diri tatkala para tetamu mengerumuni dua sejoli.

Destinasi bulan madu? Tanya seseorang.

Nice. Maman membalas bangga.

Beberapa wanita seusia Maman ber-uhh dan ber-ahh. Masakan tidak. Komuniti Monmarte, rata-rata pelukis, pemuzik dan seniman jalanan, biar bekerja sampai pencen pun, belum tentu mampu memiliki pangsapuri kecil sendiri. Apatah lagi melancong bersuka-suka di pesisir French Riviera!

Luc terkecuali kerana dia padat perancangan. Sekolah perubatan, kemudian mendaki tangga bergelar pakar bedah ternama. Lompang satu cuma. Sarah, teman nita sekejap on sekejap off, hamil ketika tempoh internship masih berbaki.

Penutup champagne jernih ditempah khas dari ladang anggur tersohor di Bordeaux melenting jauh. Khalayak bersorak tatkala Luc berdiri berucap. Aku menghala lensa kamera ke udara.

Ada bangun apabila nama disebut. Mereka berkucupan. Mempelai berpimpinan ke limousine menanti di kaki bukit. Khalayak menaburkan bunga-bungaan warna-warni serentak keberangkatan. Rangkap ‘Just Married’ tertera di atas cermin belakang bertinta gelap.

Eh, di sini rupa-rupanya! Pere tergelak. Menunduk ke bawah meja. Tetamu mula beransur. Aku menjengah.

Tubuh kecil mengerekot. Gaun kembang merah samar dari fabrik satin keronyok sana sini. Hiasan ala corsage di celahan rambut perang muda senget-benget. Sepatu putih tertanggal sebelah. Reben polka dot di hujung comot-momot.

Aku menekan butang fokus. Kanta membonjong keluar.

Klik.

Foto 3
[Becky; Usia 8 Tahun]

Maman sedang mendemah dahi Becky dengan tuala lembap ketika aku melangkah masuk.

Becky belum ke sekolah? Beg sandang sarat bertampal aneka buttons bertulisan provokatif berat oleh teks-teks tebal dan nota kuliah kutanggalkan.

Pergi. Maman membalas sepatah. Tuala kecil urna coklat tua dicelup ke dalam besen berisi air panas. Diperah. Dituam-tuam ke dahi jendul gadis kecil berselimut litup. Kamera masih berlingkar keliling tengkuk kuhidupkan. Dipetik sekali. Dapat.

Cikgu di L'Ecole Aujourd'hui menyuruh dijemput pulang. Becky mendadak demam kembali. Takut berjangkit.

Oh. Aku menarik pintu peti sejuk. Epal hijau di rak paling bawah dicapai. Digosok-gosok ke lengan baju sebelum digigit rakus. Jus masam manis memercik.

Maman sudah bawakan ke klinik?

Sudah. Doktor de Villepin beria-ria mengesyorkan ujian darah. Becky menangis-nangis takut dicucuk. Maman tak pandai membujuk. Hendak menelefon Luc, meradang pula dia dibebankan dengan hal remeh-temeh begini. Tambah pula Ada sedang sarat. Sukar hendak ditinggal-tinggalkan. Kalaulah Pere masih ada...

Epal hijau tinggal kelongsong biji kugerit-gerit. Terkacip hujung lidah dan kepedihan sendiri.

Kalaulah Pere ada, Maman tak akan menjual kedai perhiasan kecil milik keluarga di Montmarte.

Kalaulah Pere ada, aku mustahil terpaksa berili ke selatan Paris semata-mata mengikuti pengajian di universiti berkos rendah.

Kalaulah Pere ada, Luc tak mungkin sebegitu berani terus-terusan meminggirkan Becky.

Iya, kalaulah Pere ada. Kalaulah Pere masih ada.

Apa kata Doktor de Villepin? Aku berdalih.

Maman menjingkit bahu. Ibu tua itu berwajah walang.

Air panas di dalam besen menyejuk. Aku ke dapur, menyalin dengan yang baru. Maman mendakap Becky tiba-tiba menggigil kesejukan. Telefon kebetulan berdering. Doktor de Villepin berkeras mahukan Maman. Aku menghulur tanpa banyak soal.

Gagang terlepas. Maman tersepuk. Bebola mata berkaca-kaca. Ulas bibir kering terbuka berdikit-dikit. Esakan kecil bertukar raungan hiba.

Aku meraih gagang.

Sabar, ya. Lembut suara Doktor de Villepin. Pesakit - Rebecca Patrick-Sebastian, keputusan ujian darahnya; ah, positif leukimia akut.

Foto 4
[Becky; Usia 12 Tahun]

Biar betul?

Maman mengangguk-angguk, sebelum tersedu-sedu sendiri. Aku meninggalkan bilik peribadi

0 comments: