Tuesday, October 24, 2006

Bingkisan Eid

Merayakan Aidilfitri di perantauan lebih baik rasanya. Kerana aku tidak 'disibukkan' dan 'menyibukkan' diri dengan persiapan perayaan yang berlebih-lebihan.

Eid disambut ala kadar sahaja. Berpakaian baru mengambil pahala sunat. Memasak sedikit juadah [dengan amaun berpatutan; Enam bungkus nasi himpit, 2 tin santan kuah kacang dan 3 keping dada ayam bertukar menjadi sate] sebagai hidangan utama. Ke kelas mengutip ilmu daripada bersidai di hadapan peti televisyen dari pagi hingga ke petang.

Semalam, aku dan adinda-adindaku seharian berbaju kurung. Kata Emak, apa salahnya, sementelah hari raya. Mujur cuaca cerah dan suhu tidak rendah. Fabrik tipis sudah memadai melindung tubuh daripada tiupan angin 'sepoi-sepoi bahasa' di Colorado.

Paling membanggakan, apabila ditegur Professor Arora.

'Are you dressing up for Eid?'

'Yes.'

'Where're these clothes from?'

'Malaysia.'

'Wow. They're really beautiful.'

Sebelum pengajaran bermula, beliau sempat mengumumkan kepada semua pelajar;

'Today is Eid. That's why they [sambil mengunjuk ke arah aku dan Zatil] are dressing up very nicely. [Semua mata ke arah kami] It's like their Christmas.'

Stephanie menegur selepas kelas. 'The dress is pretty.'

Kata Betty [pembuat kopi kegemaran di Java City], 'You girls look amazing today.'

Serasa sebahagian tugas selaku duta kecil Malaysia terlaksana. Berbaloi menukar baju dan kasut selepas Beginning Volleyball, biarpun terpaksa mengusung kasut sukan ke hulu ke hilir sepanjang hari dan tumit melecet mengenakan sepatu baru!

Aku juga bangga dengan lelaki-lelaki Melayu di Mines. Terima kasih kerana berbaju Melayu lengkap bersampin songket ke sekolah. Terutamanya Mahfudz dan Kewek, kerana kami sama-sama dalam kelas Coach Peluso. Tidak ketinggalan Ijat, kerana tidak ralat mengenakan baju Melayu berwarna terang.

Kalungan penghargaan untuk teman-teman serumah kerana Eid kali ini tambah mengeratkan ikatan antara kita. Kalian adalah saudara-saudaraku, dunia dan akhirat.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.


P.S Ulasan 'Sleeping Becky' bakal menyusul. Nantikan.

0 comments: