Monday, September 25, 2006

Ramadhan 2

Alhamdulillah. Niat menyambung 'Zulaikha Kajai' termakbul jua.

Aku cuba melatih diri mempraktikkan teknik teori sastera Islami aliran Surah Yusuf anjuran Puan Ainon. Benarlah. Cerita jika disampaikan melalui dialog, akan lebih lancar. Ayat-ayat juga tidak meleret. Sekaligus mencernakan sebuah plot yang bergerak pantas.

Tempoh hari, ragu-ragu juga apabila Puan Ainon menggalakkan penulis bertindak sebagai 'orang luar' dalam penceritaan, bererti, penulis bukan pencerita serba tahu. Tetapi hari ini, aku memahami. Sedaya upaya mengelak lebih-lebih bercerita tentang jiwa rasa Zulaikha.

Zulaikha Kajai bukan karya terbaik. Namun ia adalah percubaan menulis sebagai aku yang lebih dewasa. Intipati cerita adalah berlandaskan pemerhatian, juga prinsip-prinsip yang aku genggam kukuh selama ini.

Terima kasih ayah kerana menjadi pengulas politik pertama aku kenali. Banyak pandangan dan pendapat ayah aku curi, lalu diselit dalam kisah Zulaikha.

Terima kasih teman-teman, kerana kritikan kalian. Adakalanya aku tidak setuju, namun seperti aku berhak menyangkal, kalian jua berhak bersuara. Aku meminjam kata-kata kalian, bukan untuk menegakkan ideologi sendiri, tetapi sekadar membandingkan. Biarlah pembaca memutuskan.

Terus-terang, aku lebih senang jika pembaca juga di atas pagar. Isu-isu yang kuangkat melalui 'Zulaikha Kajai' adalah persoalan evergreen. Sempadan benar-salah tidak pernah jelas. Tidak akan jelas.

Selamat Mengerjakan Ibadah Puasa.

0 comments: