Tuesday, September 26, 2006

Ramadhan 4

Episod hitam dimalukan oleh Benfica Disember lepas bersempena saingan kelayakan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 2005/2006 tidak menghalang barisan pemain Manchester United untuk pulang dengan tiga mata penuh dari Estadio do Sport Lisboa e Benf, Lisbon.

Cristiano 'Twinkle Toes' Ronaldo, kendati pun disorak penonton tempatan, beraksi cemerlang. Sepakan leret membuka ruang kepada Louis Saha untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit keenam puluh.

Meskipun menang, bukan bermakna Red Devils beraksi baik sepanjang sembilan puluh minit permainan. Pada separuh masa pertama, Benfica yang menyandarkan gandingan Simao Sabrosa dan Nuno Gomes di jentera serangan jelas menguasai padang.

Bahagian tengah dan hadapan United lemah. Wayne Rooney, belum cergas sepenuhnnya sekembali daripada penggantungan, diletakkan di bahagian pertahanan. Saha penyerang solo. Ronaldo pula, kerap kali mencuri bola dari kawasan sendiri namun kehilangan posesi apabila diasak bertubi-tubi.

Sir Alex 'Fergie' Ferguson menukar strategi menjelang separuh masa kedua. Rooney naik ke tengah. Ronaldo dan Saha mengisi posisi serangan. Kealpaan Benfica yang mengerah terlalu ramai pemain ke kotak penalti lawan terbalas apabila dua pemain pertahanan gagal menghalang sepakan kencang Saha ke sudut kiri sebelah atas jaring gol.

United dihidangkan beberapa peluang keemasan untuk mengesahkan kemenangan, namun sepakan percuma diambil Ronaldo tersasar. Gabriel Heinze kemudiannya juga gagal menyempurnakan tanggungjawab serupa. Sepakan lemah Michael Carrick dan Rooney jatuh tepat ke dalam dakapan Quim.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol kedua-dua pasukan. Edwin van Der Sar adalah penyelamat United, terutamanya sepanjang separuh masa pertama yang menyaksikan kepakarannya menafikan percubaan-percubaan berani Benfica. Quim juga hebat. United mungkin pulang dengan jumlah jaringan lebih besar seandainya dia tidak bertindak pantas.

United kini mengungguli Kumpulan F sesudah dua perlawanan dengan enam mata. Celtic mengekori di tangga kedua dengan tiga mata, diikuti oleh Benfica dan Kobenhavn masing-masing dengan satu mata.

Cristiano Ronaldo secara rasmi dinobatkan sebagai 'Man of the Match' dengan peratusan undian sebanyak 38 peratus.


P.S Sebagai peminat United, aku memang kedengarannya berat sebelah.

0 comments: