Wednesday, October 11, 2006

Malam Ramadhan 20

Gelegar.

Setanggi.

Entah mengapa, dua perkataan ini lama bermain-main di benak.

Saban kali 'gelegar' terngiang-ngiang, pasti terkenang rumah lama Chek dan Tok di Kelaweh. Rumah kayu berlantai tinggi terletak betul-betul di tebingan Sungai Kelantan. Kelakarnya, sepanjang sepuluh tahun sempat berkongsi hayat keduanya, aku tidak pernah sekali pun melihat air sungai nan keruh dari dekat. Semak samun di seberang jalan terlalu tebal. Cerita-cerita emak tentang kewujudan buaya sedikit sebanyak turut menakutkan.

'Setanggi' pula, aku teringat Di Mana Setangginya karya Datuk Nordin Hassan. Bila agaknya akan dipentaskan lagi naskhah agung ini? Juga teater Sarah. Sayang aku terlepas pementasannya sewaktu pulang ke tanah air tempoh hari. Menarik kisah perempuan Yahudi dari keturunan Nabi Ibrahim dan nabi Ishak yang memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Muslim berdarah kacukan Arab.

Kata Achik, Ayahanda sudah mengirim kumpulan buku pertama yang aku pesan dari Ujana Ilmu. Jika tidak salah, semuanya karya Faisal Tehrani. Tunggu Teduh Dulu, Rahsia Ummi, Lagi lagi Cerpen Underground (kolaborasi dengan Saharil Hasnin) dan Kombat [1511H]. Tak tahu pula sama ada buku kiriman/karya Ashadi Zain (aku dapat percuma sempena Program Derma Buku), Dari Kepala Batas ke New Haven disertakan bersama.

Team Ujana Ilmu juga telah menghantar kumpulan cerpen Puan Nisah Haron, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus dan Impian Tsu Ryi, bersama sebuah novel nukilan Abu Hasan Morad, Buatmu Puteri. Terima kasih kepada Encik Shukri, Webmaster, kerana menguruskan permintaan 'luar biasa' aku. Kepada Puan Nisah, terima kasih juga kerana menandatangani buku-buku berkenaan.

Kini aku mendamba Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Berbuah Surga karya Habiburrahman El Shirazy dari Indonesia. Khabarnya novel-nvel cinta Islamik meletup di sana sekarang. Hendak juga aku tinjau bentuk penulisannya. Awas, bukan meniru! Tetapi menganalisis. Formula apa digunapakai sehingga belia-belia Indonesia tidak ralat membaca karya-karya berisi sebegitu. Manalah tahu, andai sesuai, boleh diaplikasikan menggunakan acuan kita sendiri untuk menghasilkan santapan minda buat remaja-remaja kita pula.

Memetik intipati 'Resipi Dari Istana' karya Puan Nisah yang tersiar dalam Berita Minggu beberapa minggu lalu, bahan bacaan umpama makanan. Takkan selama-lama kita mahu hanyut dan layu dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat?

P.S Jid, kau diam selepas mesej terakhir aku. Aku tersalah cakapkah?
P.P.S Fatimah Az-Zahra' Sha'ari di Melbourne University, saya tiba-tiba teringat awak!

0 comments: