Saturday, June 14, 2008

[+/-] Read More...

Friday, May 04, 2007

[+/-] Read More...

Tuesday, January 23, 2007



[+/-] Read More...

Saturday, November 25, 2006

Sleeping Becky

Siapa Becky?

Kolumnis seni dari Le Parisien mengusul sungguh-sungguh. Aku mengerling Luc dan Ada di sudut koktel. Luc pura-pura tidak perasan, pantas menghabiskan segelas penuh wain putih sebelum gesa-gesa menarik Ada yang galak berbual-bual santai dengan beberapa sosialit lain ke lobi galeri.

Mademoiselle? Aku berpaling. Kolumnis seni masih menanti jawapan. Pen mata bulat sedia di atas helaian buku nota kecil warna putih.

Sudah masanya, mon cherie. Bisikan lembut maman sayup-sayup. Aku memejam mata.

Becky...Suara pecah. Ah. Becky...anak saudara saya!


Amelie Patrick-Sebastian
Jurufoto Profesional
mempersembahkan
"Sleeping Becky"



Foto 1
[Becky; Usia 2 Minggu]


Pangsapuri ala studio satu bilik lengang.

Sarah? Maman tertinjau-tinjau.

Peti televisyen terpasang tanpa suara. Vanessa Paradis melalak entah apa. Tin-tin aloi berlabel Coke bergelatakan. Cairan hitam berbusa oleh karbon dioksida mengecer. Sisa-sisa croissant sejuk terbiar. Di satu sudut, keping-kepingan kaca bertaburan antara tangkai mawar merah separa layu.

Dia tak ada. Luc membalas ringkas.

Rambut hitam ikal kusut masai. Kemeja tee lusuh berbau kumal. Botol hijau Heineken kejap dalam genggaman tinggal separuh. Puntung Silk Cut berasap di celahan jari. Maman berkerut dahi. Kami bertukar pandangan. Aku meluru.

Becky ada! Jeritku, langsung ghairah memetik punat kamera hitam putih tanpa silau dipinjamkan Pere. Wajah mulus bayi kecil berbedung terakam dari pelbagai sudut.

Tentulah. Ibunya tinggalkan dia sebagai cenderahati! Luc melaung dari luar.

Terbetik curiga, tangan ringan menolak pintu almari baju. Kosong. Laci meja solek. Kosong. Lugej besar di bawah katil. Tiada. Alat-alat kosmetik di atas sinki bilik mandi. Tiada.

Kak Sarah mana? Usulku jujur. Luc menepis tangan maman. Mata putih merah saga dijegil-jegil.

Dia dah pergi!


Foto 2
[Becky; Usia 4 Tahun]


Ami, satu lagi. Tolong!

Aku senyum paksa. Mengangguk. Silau kamera meledak. Ada menepuk-nepuk pipi. Terima kasih! Luc meraih Ada ke dalam pelukan. Mereka tertawa riang. Silau kamera meledak lagi. Aku perlahan-lahan mengundur diri tatkala para tetamu mengerumuni dua sejoli.

Destinasi bulan madu? Tanya seseorang.

Nice. Maman membalas bangga.

Beberapa wanita seusia Maman ber-uhh dan ber-ahh. Masakan tidak. Komuniti Monmarte, rata-rata pelukis, pemuzik dan seniman jalanan, biar bekerja sampai pencen pun, belum tentu mampu memiliki pangsapuri kecil sendiri. Apatah lagi melancong bersuka-suka di pesisir French Riviera!

Luc terkecuali kerana dia padat perancangan. Sekolah perubatan, kemudian mendaki tangga bergelar pakar bedah ternama. Lompang satu cuma. Sarah, teman nita sekejap on sekejap off, hamil ketika tempoh internship masih berbaki.

Penutup champagne jernih ditempah khas dari ladang anggur tersohor di Bordeaux melenting jauh. Khalayak bersorak tatkala Luc berdiri berucap. Aku menghala lensa kamera ke udara.

Ada bangun apabila nama disebut. Mereka berkucupan. Mempelai berpimpinan ke limousine menanti di kaki bukit. Khalayak menaburkan bunga-bungaan warna-warni serentak keberangkatan. Rangkap ‘Just Married’ tertera di atas cermin belakang bertinta gelap.

Eh, di sini rupa-rupanya! Pere tergelak. Menunduk ke bawah meja. Tetamu mula beransur. Aku menjengah.

Tubuh kecil mengerekot. Gaun kembang merah samar dari fabrik satin keronyok sana sini. Hiasan ala corsage di celahan rambut perang muda senget-benget. Sepatu putih tertanggal sebelah. Reben polka dot di hujung comot-momot.

Aku menekan butang fokus. Kanta membonjong keluar.

Klik.

Foto 3
[Becky; Usia 8 Tahun]

Maman sedang mendemah dahi Becky dengan tuala lembap ketika aku melangkah masuk.

Becky belum ke sekolah? Beg sandang sarat bertampal aneka buttons bertulisan provokatif berat oleh teks-teks tebal dan nota kuliah kutanggalkan.

Pergi. Maman membalas sepatah. Tuala kecil urna coklat tua dicelup ke dalam besen berisi air panas. Diperah. Dituam-tuam ke dahi jendul gadis kecil berselimut litup. Kamera masih berlingkar keliling tengkuk kuhidupkan. Dipetik sekali. Dapat.

Cikgu di L'Ecole Aujourd'hui menyuruh dijemput pulang. Becky mendadak demam kembali. Takut berjangkit.

Oh. Aku menarik pintu peti sejuk. Epal hijau di rak paling bawah dicapai. Digosok-gosok ke lengan baju sebelum digigit rakus. Jus masam manis memercik.

Maman sudah bawakan ke klinik?

Sudah. Doktor de Villepin beria-ria mengesyorkan ujian darah. Becky menangis-nangis takut dicucuk. Maman tak pandai membujuk. Hendak menelefon Luc, meradang pula dia dibebankan dengan hal remeh-temeh begini. Tambah pula Ada sedang sarat. Sukar hendak ditinggal-tinggalkan. Kalaulah Pere masih ada...

Epal hijau tinggal kelongsong biji kugerit-gerit. Terkacip hujung lidah dan kepedihan sendiri.

Kalaulah Pere ada, Maman tak akan menjual kedai perhiasan kecil milik keluarga di Montmarte.

Kalaulah Pere ada, aku mustahil terpaksa berili ke selatan Paris semata-mata mengikuti pengajian di universiti berkos rendah.

Kalaulah Pere ada, Luc tak mungkin sebegitu berani terus-terusan meminggirkan Becky.

Iya, kalaulah Pere ada. Kalaulah Pere masih ada.

Apa kata Doktor de Villepin? Aku berdalih.

Maman menjingkit bahu. Ibu tua itu berwajah walang.

Air panas di dalam besen menyejuk. Aku ke dapur, menyalin dengan yang baru. Maman mendakap Becky tiba-tiba menggigil kesejukan. Telefon kebetulan berdering. Doktor de Villepin berkeras mahukan Maman. Aku menghulur tanpa banyak soal.

Gagang terlepas. Maman tersepuk. Bebola mata berkaca-kaca. Ulas bibir kering terbuka berdikit-dikit. Esakan kecil bertukar raungan hiba.

Aku meraih gagang.

Sabar, ya. Lembut suara Doktor de Villepin. Pesakit - Rebecca Patrick-Sebastian, keputusan ujian darahnya; ah, positif leukimia akut.

Foto 4
[Becky; Usia 12 Tahun]

Biar betul?

Maman mengangguk-angguk, sebelum tersedu-sedu sendiri. Aku meninggalkan bilik peribadi

[+/-] Read More...

Tuesday, October 24, 2006

Bingkisan Eid

Merayakan Aidilfitri di perantauan lebih baik rasanya. Kerana aku tidak 'disibukkan' dan 'menyibukkan' diri dengan persiapan perayaan yang berlebih-lebihan.

Eid disambut ala kadar sahaja. Berpakaian baru mengambil pahala sunat. Memasak sedikit juadah [dengan amaun berpatutan; Enam bungkus nasi himpit, 2 tin santan kuah kacang dan 3 keping dada ayam bertukar menjadi sate] sebagai hidangan utama. Ke kelas mengutip ilmu daripada bersidai di hadapan peti televisyen dari pagi hingga ke petang.

Semalam, aku dan adinda-adindaku seharian berbaju kurung. Kata Emak, apa salahnya, sementelah hari raya. Mujur cuaca cerah dan suhu tidak rendah. Fabrik tipis sudah memadai melindung tubuh daripada tiupan angin 'sepoi-sepoi bahasa' di Colorado.

Paling membanggakan, apabila ditegur Professor Arora.

'Are you dressing up for Eid?'

'Yes.'

'Where're these clothes from?'

'Malaysia.'

'Wow. They're really beautiful.'

Sebelum pengajaran bermula, beliau sempat mengumumkan kepada semua pelajar;

'Today is Eid. That's why they [sambil mengunjuk ke arah aku dan Zatil] are dressing up very nicely. [Semua mata ke arah kami] It's like their Christmas.'

Stephanie menegur selepas kelas. 'The dress is pretty.'

Kata Betty [pembuat kopi kegemaran di Java City], 'You girls look amazing today.'

Serasa sebahagian tugas selaku duta kecil Malaysia terlaksana. Berbaloi menukar baju dan kasut selepas Beginning Volleyball, biarpun terpaksa mengusung kasut sukan ke hulu ke hilir sepanjang hari dan tumit melecet mengenakan sepatu baru!

Aku juga bangga dengan lelaki-lelaki Melayu di Mines. Terima kasih kerana berbaju Melayu lengkap bersampin songket ke sekolah. Terutamanya Mahfudz dan Kewek, kerana kami sama-sama dalam kelas Coach Peluso. Tidak ketinggalan Ijat, kerana tidak ralat mengenakan baju Melayu berwarna terang.

Kalungan penghargaan untuk teman-teman serumah kerana Eid kali ini tambah mengeratkan ikatan antara kita. Kalian adalah saudara-saudaraku, dunia dan akhirat.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.


P.S Ulasan 'Sleeping Becky' bakal menyusul. Nantikan.

[+/-] Read More...

Monday, October 23, 2006

Malam Raya

Malam Syawal 1, 1417 H.

Takbir raya didn't go so well. Rasa meluat dengan segelintir manusia merajai nurani. Boleh pula datang rumah orang tapi tak tegur tuan rumah? Habis, mengapa datang? To prove me a point? What?

Aku baru usai memasak kuah kacang dan merebus nasi himpit. Daging ayam sebanyak tiga keping bahagian dada dipotong dadu sudah diperap dengan rempah-ratus resipi sate turun-temurun dari Emak.

Mula-mula bercita-cita menyediakan kuah lemak lontong dan sambal tumis ikan bilis sekali, tetapi mengenangkan kerja rumah Statics belum langsai, dan kantuk bertandang, aku tangguhkan dulu hasrat. Oh, ya. Minggu depan, kami hanya akan mengukus pulut untuk jamuan rumah terbuka.

Syawal ini, aku punya resolusi baru. Memasak yang enak-enak hanya untuk insan-insan yang apresiatif. Baru hati sendiri senang. Serik.

Tadi berbuka di Isle of Singapore dengan nasi goreng ikan asin bersama Wani, Zatil, Kak Linda dan Perry. Perry jiran kami, dan rakan sekelas Kak Linda. Dia cuba-cuba berpuasa hari ini.

'So, you're really fasting today?' Aku.

'Erm...not really.' Perry [wajah bersalah] 'I ate some candies.'

Kelakarnya, Wani bersahaja pointing out kami kelihatan seperti sebuah keluarga. Perry bapa. Kak Linda ibu. Aku, dia dan Zatil anak-anak mereka. Lebih lucu, ketika terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Highway 6 akibat kemalangan jalan raya, kami bertiga terlentok di atas bahu satu sama lain di seat belakang.

'Look at the girls.' Kak Linda.

Perry berpaling. 'Awww...'

Wani beli komputer riba baru hari ini. Sony Vaio.

Semalam kami sleepover di bilik Kak Mit di Holiday Inn at Denver West. Konon-kononnya hendak bergosip-gosip, tetapi sudahnya, aku terlena sambil memerhati Kak Mit mengemas-ngemas pakaian. Jam dua pagi, Kak Linda mengejutkan.

'Jom. Pergi sahur.'

Mengenangkan perut yang berkerit-kerit, aku gagahkan diri. Menu: fish and chips. Kantuk membunuh selera makan. Hidangan banyak berbaki. Sekembali ke hotel lebih kurang jam empat pagi, aku terus menarik selimut dan beradu.

Sehinggalah jam sembilan. Pulang ke rumah, dan tidur lagi selama empat jam.




P.S Aku berpuasa penuh tahun ini!

[+/-] Read More...

Saturday, October 21, 2006

Ramadhan 29 - Ayam

Memang aku mahu kemaskini catatan malam tadi, tetapi agenda padat. Kemudian kelopak mata tidak tertongkat-tongkat lagi. Beradu? Tidak juga. Pengusaha katering datang mengangkut ayam-ayam beku sebanyak empat belas ekor sambil meredah salji melebat pada jam dua pagi.

Eh, kena potong ayam sekali ke?

Ya lah.

Hurm. Okay. Masuk-masuk.

Ruang tamu sedia sofa dan futon tertolak ke tepi kerana 'projek besar' berubah rupa. Kertas-kertas suratkhabar dihampar. Pisau-pisau dikeluarkan.[Siap ada batu pengasah!] Macam hendak kenduri.

Kerasnya ayam ni. Kau tak 'thaw' dulu ke? [sambil menghentak-hentak pisau yang tumpul]

Dah berjam-jam dalam kereta. Ha. Ni semua tauke ayam punya pasal. [sambil mengerling insan yang dimaksudkan]

Apa kaitan dengan kita pula? [sambil mempamerkan air muka keliru buat kesekian kalinya. Dia diusik dengan gelaran serupa lebih kurang dua puluh kali!]

Apa kata letakkan bawah air panas dulu?

Sinki tak muat.

Bath tub kan ada!

[Bunyi pisau tumpul diasah. Bebola mata mula berair dek sulfur dari hirisan bawang besar]

Cepatlah gosip. Aku nak dengar. Serius aku tak cakap apa-apa. Nak dengar je.

Tak bolehlah. Kau datang terus tukar topik. Dah terkurang seorang untuk diumpat.

[Ketawa]

Kalau tak nak gosip buka tv lah.

[Deep Blue Sea tertayang di saluran TNT]

Somewhere along the way, seorang 'buruh' kenduri tertidur, dan dua orang 'tukang tolong tengok' tiba.

[Samuel L. Jakcson berapi-api memotivasikan anak-anak buahnya di kaca tv. 'We're going to war together, people-]

Arrggghhhh! [Sekurang-kurangnya enam harakat]

Uish. Nasib baik tak terpelanting pisau!

Maaf, maaf. Sangat terkejut. Besar sangat [sambil mendemonstrasikan dengan kedua-dua belah tangan] mulut jerung tu.

Sebelas ekor ayam dipotong lapan kemudian...

[Tidur]


P.S Objek dalam gambar kelihatan lebih besar daripada realiti.

[+/-] Read More...