Merayakan Aidilfitri di perantauan lebih baik rasanya. Kerana aku tidak 'disibukkan' dan 'menyibukkan' diri dengan persiapan perayaan yang berlebih-lebihan.
Eid disambut ala kadar sahaja. Berpakaian baru mengambil pahala sunat. Memasak sedikit juadah [dengan amaun berpatutan; Enam bungkus nasi himpit, 2 tin santan kuah kacang dan 3 keping dada ayam bertukar menjadi sate] sebagai hidangan utama. Ke kelas mengutip ilmu daripada bersidai di hadapan peti televisyen dari pagi hingga ke petang.
Semalam, aku dan adinda-adindaku seharian berbaju kurung. Kata Emak, apa salahnya, sementelah hari raya. Mujur cuaca cerah dan suhu tidak rendah. Fabrik tipis sudah memadai melindung tubuh daripada tiupan angin 'sepoi-sepoi bahasa' di Colorado.
Paling membanggakan, apabila ditegur Professor Arora.
'Are you dressing up for Eid?'
'Yes.'
'Where're these clothes from?'
'Malaysia.'
'Wow. They're really beautiful.'
Sebelum pengajaran bermula, beliau sempat mengumumkan kepada semua pelajar;
'Today is Eid. That's why they [sambil mengunjuk ke arah aku dan Zatil] are dressing up very nicely. [Semua mata ke arah kami] It's like their Christmas.'
Stephanie menegur selepas kelas. 'The dress is pretty.'
Kata Betty [pembuat kopi kegemaran di Java City], 'You girls look amazing today.'
Serasa sebahagian tugas selaku duta kecil Malaysia terlaksana. Berbaloi menukar baju dan kasut selepas Beginning Volleyball, biarpun terpaksa mengusung kasut sukan ke hulu ke hilir sepanjang hari dan tumit melecet mengenakan sepatu baru!
Aku juga bangga dengan lelaki-lelaki Melayu di Mines. Terima kasih kerana berbaju Melayu lengkap bersampin songket ke sekolah. Terutamanya Mahfudz dan Kewek, kerana kami sama-sama dalam kelas Coach Peluso. Tidak ketinggalan Ijat, kerana tidak ralat mengenakan baju Melayu berwarna terang.
Kalungan penghargaan untuk teman-teman serumah kerana Eid kali ini tambah mengeratkan ikatan antara kita. Kalian adalah saudara-saudaraku, dunia dan akhirat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
P.S Ulasan 'Sleeping Becky' bakal menyusul. Nantikan.
Tuesday, October 24, 2006
[+/-] |
Bingkisan Eid |
Monday, October 23, 2006
[+/-] |
Malam Raya |
Malam Syawal 1, 1417 H.
Takbir raya didn't go so well. Rasa meluat dengan segelintir manusia merajai nurani. Boleh pula datang rumah orang tapi tak tegur tuan rumah? Habis, mengapa datang? To prove me a point? What?
Aku baru usai memasak kuah kacang dan merebus nasi himpit. Daging ayam sebanyak tiga keping bahagian dada dipotong dadu sudah diperap dengan rempah-ratus resipi sate turun-temurun dari Emak.
Mula-mula bercita-cita menyediakan kuah lemak lontong dan sambal tumis ikan bilis sekali, tetapi mengenangkan kerja rumah Statics belum langsai, dan kantuk bertandang, aku tangguhkan dulu hasrat. Oh, ya. Minggu depan, kami hanya akan mengukus pulut untuk jamuan rumah terbuka.
Syawal ini, aku punya resolusi baru. Memasak yang enak-enak hanya untuk insan-insan yang apresiatif. Baru hati sendiri senang. Serik.
Tadi berbuka di Isle of Singapore dengan nasi goreng ikan asin bersama Wani, Zatil, Kak Linda dan Perry. Perry jiran kami, dan rakan sekelas Kak Linda. Dia cuba-cuba berpuasa hari ini.
'So, you're really fasting today?' Aku.
'Erm...not really.' Perry [wajah bersalah] 'I ate some candies.'
Kelakarnya, Wani bersahaja pointing out kami kelihatan seperti sebuah keluarga. Perry bapa. Kak Linda ibu. Aku, dia dan Zatil anak-anak mereka. Lebih lucu, ketika terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Highway 6 akibat kemalangan jalan raya, kami bertiga terlentok di atas bahu satu sama lain di seat belakang.
'Look at the girls.' Kak Linda.
Perry berpaling. 'Awww...'
Wani beli komputer riba baru hari ini. Sony Vaio.
Semalam kami sleepover di bilik Kak Mit di Holiday Inn at Denver West. Konon-kononnya hendak bergosip-gosip, tetapi sudahnya, aku terlena sambil memerhati Kak Mit mengemas-ngemas pakaian. Jam dua pagi, Kak Linda mengejutkan.
'Jom. Pergi sahur.'
Mengenangkan perut yang berkerit-kerit, aku gagahkan diri. Menu: fish and chips. Kantuk membunuh selera makan. Hidangan banyak berbaki. Sekembali ke hotel lebih kurang jam empat pagi, aku terus menarik selimut dan beradu.
Sehinggalah jam sembilan. Pulang ke rumah, dan tidur lagi selama empat jam.
P.S Aku berpuasa penuh tahun ini!
Saturday, October 21, 2006
[+/-] |
Ramadhan 29 - Ayam |
Memang aku mahu kemaskini catatan malam tadi, tetapi agenda padat. Kemudian kelopak mata tidak tertongkat-tongkat lagi. Beradu? Tidak juga. Pengusaha katering datang mengangkut ayam-ayam beku sebanyak empat belas ekor sambil meredah salji melebat pada jam dua pagi.
Eh, kena potong ayam sekali ke?
Ya lah.
Hurm. Okay. Masuk-masuk.
Ruang tamu sedia sofa dan futon tertolak ke tepi kerana 'projek besar' berubah rupa. Kertas-kertas suratkhabar dihampar. Pisau-pisau dikeluarkan.[Siap ada batu pengasah!] Macam hendak kenduri.
Kerasnya ayam ni. Kau tak 'thaw' dulu ke? [sambil menghentak-hentak pisau yang tumpul]
Dah berjam-jam dalam kereta. Ha. Ni semua tauke ayam punya pasal. [sambil mengerling insan yang dimaksudkan]
Apa kaitan dengan kita pula? [sambil mempamerkan air muka keliru buat kesekian kalinya. Dia diusik dengan gelaran serupa lebih kurang dua puluh kali!]
Apa kata letakkan bawah air panas dulu?
Sinki tak muat.
Bath tub kan ada!
[Bunyi pisau tumpul diasah. Bebola mata mula berair dek sulfur dari hirisan bawang besar]
Cepatlah gosip. Aku nak dengar. Serius aku tak cakap apa-apa. Nak dengar je.
Tak bolehlah. Kau datang terus tukar topik. Dah terkurang seorang untuk diumpat.
[Ketawa]
Kalau tak nak gosip buka tv lah.
[Deep Blue Sea tertayang di saluran TNT]
Somewhere along the way, seorang 'buruh' kenduri tertidur, dan dua orang 'tukang tolong tengok' tiba.
[Samuel L. Jakcson berapi-api memotivasikan anak-anak buahnya di kaca tv. 'We're going to war together, people-]
Arrggghhhh! [Sekurang-kurangnya enam harakat]
Uish. Nasib baik tak terpelanting pisau!
Maaf, maaf. Sangat terkejut. Besar sangat [sambil mendemonstrasikan dengan kedua-dua belah tangan] mulut jerung tu.
Sebelas ekor ayam dipotong lapan kemudian...
[Tidur]
P.S Objek dalam gambar kelihatan lebih besar daripada realiti.
Friday, October 20, 2006
[+/-] |
Ramadhan 28 - Putri Saadong |
11:30 pagi
Putri Saadong sudah dikemaskini.
Maaf, bukan MimpiMilan! [Belum bersambung. Aku malas amat.] Tetapi cerita ringkas bertajuk 'Ronny versus Rooney.'
Sudi-sudikanlah melawat, ya?
Thursday, October 19, 2006
[+/-] |
Ramadhan 27 - Dan Miller |
Aku singgah di cubicle Dan Miller di Stratton Hall selepas kelas pagi tadi. Saja, lama tidak bersembang-sembang santai dengan bekas instruktor Nature and Human Values sewaktu di semester pertama dulu.
Seronoknya sesekali dapat berbual-bual dengan orang seni. Dan bercerita tentang pementasan ballet 'Giselle' yang ditonton bersama isterinya Jennifer di Denver Opera House baru-baru ini.
Tiketnya mahal, kata Dan, tapi berbaloi. Giselle mengangkat kisah cinta tiga segi antara gadis desa, pemuda kampung dan bangsawan Perancis. Bahagian pertama pementasan biasa-biasa saja, tetapi selepas intermission, wah, magis!
Dia juga sempat berkongsi pengalaman di daerah teater London, West End. Katanya, setengah jam sebelum pementasan bermula [selalunya jam 1930 atau 2000], tiket-tiket tidak terjual banyak. Agen-agen tiket akan 'melelong' di tepi-tepi jalan. Bukan sahaja harga yang ditawarkan rendah, malah pilihan pelbagai!
Alang-alang teringat, aku menjemput Dan dan keluarga ke acara International Day tahun ini. "I'll be there," janjinya. Nampaknya, kenalah bersungguh-sungguh berlatih menari. Malu Malaysia nanti!
Wednesday, October 18, 2006
[+/-] |
Ramadhan 26 - Segregasi |
Segregasi.
Pada era kolonial, ada segregasi geografi dan pekerjaan. Orang Melayu di kampung-kampung, jadi petani, nelayan dan penternak. Orang Cina di bandar-bandar, jadi peniaga, pengusaha dan pemiutang. Orang India di estet-estet, jadi penoreh.
Para era Dasar Ekonomi Baru (DEB), ada segregasi kekayaan. Maka terbentuklah golongan Orang Kaya Baru. Malah disebut-sebut juga ketika inilah lahir generasi Melayu baru. Aih, sebelum ini ada Melayu lama ke? Yang pasti, segregasi harta ini hanya membantu sesetengah golongan masyarakat saja. Bangsa bukan bumiputera terus kaya. Bumiputera yang kaya pun, lebih ramai yang lupa diri daripada membantu golongan kurang berada.
Segregasi politik juga ada. Tak perlu pergi jauh-jauh. Kita teliti politik Melayu pun sudha lebih dari cukup. UMNO dan PAS. Malah UMNO sendiri pernah terpecah. Team A lawan Team B. Tengku Razaleigh dan Semangat 46-nya. Selepas itu kita ada KeADILan. Terbaru, penyokong Tun Mahathir versus penyokong Pak Lah. Lengkaplah 'cinta' empat segi politik Melayu.
Segregasi ideologi? Ini rapat dengan fahaman politik barangkali. Golongan masjid. Golongan aspirasi [macam merujuk fenomena pilihan raya kampus IPTA tempatan pula!]. Oh, golongan urban. Golongan terbuka. Apa-apalah. Entah-entah lain maksud terbuka yang difahami!
Tidak ketinggalan, segregasi sastera. Kelompok intelek lawan kelompok picisan. Menariknya tarik-tarik rambut dunia penulisan tanah air, sampai ada peguambela dari seberang menghulur pendapat tidak diminta. Eh, masalah dalam kain kita, dia sibuk-sibuk pula masuk campur?
Heh. Isu pemilihan pembimbing ke MASTERA beransur reda berkocak kembali. Inilah natijahnya apabila orang luar suku sakat yang tiada pengetahuan latar bersuara. Sepatutnya, selaku pihak ketiga, awak berkecuali. Cuba tautkan kembali mana-mana yang relai. Ini tidak, menyimbah minyak ke unggun api sedang marak!
Segregasi sastera bukan salah penulis. Tetapi perbuatan pembaca. Sastera picisan tidak akan wujud jika tiada permintaan. Jadi kita salahkan khalayak?
Menuding jari memang mudah. Tapi cuba renung-renungkan. Membaca bahan picisan tak salah, asalkan tahu membezakan. Kadang kala, perlu juga menghadam bahan-bahan ringan setelah tepu kepala dengan perkara-perkara lain yang lebih perdana. Malah, sastera picisan [ini pendapat peribadi], mungkin jalan terbaik memupuk budaya membaca di kalangan belia kita yang beransur-ansur hanyut bersama arus hedonisme pacuan Barat.
Tetapi jika sudah matang berfikir namun masih mahu memenuhkan tembolok minda dengan novel-novel cinta murahan? [Matang ke?]
P.S Segregasi - pengasingan (antara kelompok dengan kelompok lainnya), pemisahan, pemencilan
[Kamus Dewan Edisi Ketiga, muka surat 1208, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002]
Tuesday, October 17, 2006
[+/-] |
Ramadhan 25 - Tiga Kosong |
Manchester United menang bergaya 3 gol tanpa balas ke atas Kobenhavn FC dari Denmark dalam perlawanan ketiga Pusingan Kelayakan Kumpulan F Liga Juara-Juara Eropah 2006/2007. Ketiga-tiga gol masing-masing dijaringkan oleh Paul Scholes (39''), John O'Shea (46") dan Kieran Richardson (82").
Walaupun turun tanpa pemain-pemain bintang seperti Rio Ferdinand, Ryan Giggs dan Gary Neville yang dilanda krisis kecederaan, United bermula garang. Louis Saha memecut bersama bola ke dalam kotak penalti Kobenhavn seawal minit pertama. Namun percubaan satu lawan satu oleh Saha berjaya diselamatkan oleh Jesper Christiansen.
Christiansen membuktikan kehebatannya sebagai pemain terbaik Kobenhavn dalam perlawanan ini dengan menyelamatkan percubaan demi percubaan bahaya oleh gandingan para penyerang United [Saha, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney].
Pada minit ke 17, Cristiano Ronaldo melorongkan bola dari sudut kiri kawasan gawang Kobenhavn ke arah Wayne Rooney yang tidak dikawal. Sayangnya, Rooney sedikit terkebelakang dan gagal menguis bola ke dalam jaring yang terbuka luas.
United tidak berputus asa menggandakan serangan, namun pertahanan Kobenhavn yang didalangi Chriatiansen terlalu kebal. Sehinggalah Saha menyepak pendek kepada Paul Scholes pada minit ke 39. Pemain-pemain Kobenhavn meluru mengekang Saha, sekaligus membuka peluang keemasan kepada Scholes untuk merembat deras ke sudut kiri pintu gol dari luar kotak penalti. Christiansen tersalah percaturan, sedikit terlewat merebahkan badan.
United 1, Kobenhavn 0.
Seminit kemudian, Christiansen diuji lagi. Kali ini oleh tandukan perlahan Cristiano Ronaldo yang mudah ditampan keluar.
Permainan rancak seawal wisel sepak mula separuh masa kedua. Rooney [yang memegang lilitan kapten], menerima bola dari tengah padang gesit meluru ke dalam kawasan lawan. Namun bola tinggi cekap ditanduk keluar pertahanan Kobenhavn. Ronaldo menyempurnakan sepakan sudut, cantik melencong ke hadapan gol. John O'Shea, kebetulan di posisi yang betul, menguis dengan kaki kiri. Christiansen tertewas lagi.
United 2, Kobenhavn 0.
Kobenhavn belum patah semangat meskipun ketinggalan dua jaringan. United juga tidak buru-buru meraikan kemenangan. Oleh itu tidak hairanlah jika kedua-dua pasukan bersungguh-sungguh mencari penyudahan di samping kejap mengawal kawasan masing-masing. Kobenhavn dihidangkan beberapa peluang keemasan, terutamanya percubaan-percubaan berani oleh Hutchinson dan Razak Pimpong. Namun, Edwin Van Der Sar bertindak cekap menafikan gawangnya dibolosi.
Saha dan Michael Carrick kemudiannya dikeluarkan. Kasihan Saha, sebetulnya. Sentuhannya kurang menjadi malam ini. Kemasukan Alan Smith [kemunculan pertama setelah pulih daripada patah kaki February lalu] dan Kieran Richardson [aku selalu menyangka dia Theo Walcott] merancakkan permainan sedia menarik.
Jika Alan terlepas dua peluang cantik memahat nama selaku penjaring, Kieran tidak mensia-siakan hantaran dari tengah padang untuk menyepak deras ke arah gawang. Christiansen menguis, namun bola terlalu laju melantun, langsung meleret perlahan melepasi garisan gol [sungguh anti-klimaks].
United 3, Kobenhavn 0.
Sekarang, barulah selamat jika United mahu bermain sambil lewa. Tetapi mereka tidak. Apatah lagi dengan kesungguhan Kobenhavn yang tidak kunjung padam. Berjuang, biar sehingga ke titisan peluh terakhir!
Manchester United kini mengungguli Kumpulan F dengan 9 mata dari 3 perlawanan. SL Benfica tewas 3-0 kepada Celtics [apa jadi kepada gandingan Simao Sabrosa dan Nuno Gomes?], sekaliigus meletakkan Celtics dari Scotlad di tangga kedua dengan 6 mata dan Benfica serta Kobenhavn masing-masing dengan satu mata di tangga ketiga dan keempat.
Cristiano Ronaldo sekali lagi dinobatkan sebagai Man of the Match atas undian penonton [aku secara peribadi mengangkat Jesper Christiansen, biarpun dia bolos tiga kali]. Meminjam kata-kata Sdr Helmy Samad, juga peminat Red Devils;
"Cristiano Ronaldo coming of age has started to entertain."
P.S Sedikit statistik, percubaan menjaringkan gol oleh United sepanjang 90 minit adalah sebanyak 26 kali, Kobenhavn 14 kali. Some match, aye?
Monday, October 16, 2006
[+/-] |
Malam Ramadhan 25 |
Kehidupan serasa sepi, sunyi tanpa bahan bacaan. Bukan tidak ada buku-buku bahasa Inggeris, tetapi aku mengidamkan novel-novel melayu ilmiah. Cepat-cepatlah hendaknya buku-buku kiriman Ayah tiba. Mujur Ayah tidak mengikutkan kehendak aku agar dihantar melalui jalan laut. Jika tidak, nasibya, sebulan dua lagilah sampainya, seperti pesanan baru dari Ujana Ilmu.
Salah aku juga. Hendak berjimat konon-kononnya. Kemudian kepasrahan sendiri, seolah-olah menanti buah durian gugur gamaknya [nanti aku ceritakan pengalaman sewaktu kecil masuk dusun durian pagi-pagi mengutip durian bersama Ayah]. Kini aku sedang mengumpul senarai buku-buku idaman yang baru. Salah satunya 'Rindu Ibu' oleh Pak Samad. Ia merupakan kumpulan puisi kanak-kanak. Ah. Kekaguman pada Pak Samad memekar. Eh, bukan senang tau untuk seorang dewasa menulis untuk tatapan anak-anak kecil! Pak Samad memang penulis serba boleh! Syabas juga kepada Saudara Helmy kerana tegar memperjuangkan karya-karya Pak Samad melalui Wira Bukit.
Aku juga sudah jumpa jalan penyelesaian mendapatkan karya-karya Habiburrahman El Shirazy. Akan aku minta bantuan adik teman serumah yang menuntut di Makasar agar membawakan 'Ayat-Ayat Cinta,' 'Ketika Cinta Berbuah Surga,' Di Atas Sajadah Cinta' dan 'Pudarnya Pesona Cleopatra' pulang bersama ke Malaysia kelak.
Memang niat asal tidak mahu pulang musim panas tahun hadapan. Bukan apa, mahu merasa terik mentari ekuinoks di hemisfera utara. Kepingin menyaksikan kemeriahan sambutan Fourth of July dengan mata kepala sendiri. Juga berhajat ke Stanford [sengaja mahu merasa belajar di sekolah Ivy League] mengambil summer class di sana.
Namun, kata Cik Su, pulanglah walaupun sekejap. Hidup dalam persekitaran tidak Islamik, kadang kala aku terleka. Pulang, bukan sekadar melunas rindu pada keluarga, juga mengingatkan diri kepada akar agama dan budaya.
Kepulangan tempoh hari misalnya, mungkin sekali pandang adalah sangat tidak produktif [jadual tidur umpama kelawar, terperap di rumah - tonton tv - makan - bergaduh dengan adik] namun punya hikmah tersendiri.
*
I'm glad that I came out of my shell. Because just by being the real me, I earned respect from people who worth earning respects from. And they trust me enough to give me responsibilities. Suddenly, I'm not just another idiotic, shallow-minded and boy-crazy girl in their eyes. And guess what, I don't feel that way either - at least not anymore.
*
Ayah, Emak dan adik-adik bakal bertolak pulang meraikan Aidilfitri di Bukit Marak pagi Sabtu ini. Pak Long dan Kak Zan juga. Abang Di dan Kak Ida khabarnya pulang sehari lebih awal. Penerbangan Che Chik juga pada hari yang sama. Cuma Kak Sah beraya di rumah mertua di utara. Tak apalah, sekurang-kurangnya, rumah Mek dan Wan kembali ceria denga gurau senda dan gelak ketawa seisi keluarga.
Rindu sungguh berbuka beramai-ramai di kampung. Andai sehari sebelum raya, menu pasti ada tomyam atau sup kaki lembu. Kerabu sarang [sejenis rumpai laut dimakan bersama kuah ala nasi kerabu dan sambal kelapa - ada rasa masam-masam sedikit -sangat enak!]. Telur itik masin. Budu dan cili api beserta perahan asam limau nipis dibelah lintang.
Untuk kanak-kanak [yang besar di bandar dan tidak makan ulam-ulaman] ada ayam berlada. Kuih-muih pelbagai - tepung pelita, seraban, nekbat [lamanya tidak ketemukan!], akok, cendol [dihirup bersama ais dan air sirap bergula - aduh, nikmat!], buah tanjung dan jala emas.
Semua makan bersila di atas lantai beralas tikar besar. Kadang kala jika terlalu ramai, sampai dua kali berhidang. Nasi ditanak dua periuk kapasiti sepuluh cawan beras - selalunya terpaksa dicuri awal-awal untuk kucing peliharaan.
Malam raya? Aku pembida tender mencucuk sate tunggal. Tiada cabaran. Juga tiada pembantu. Dulu, sebelum Kak Sah berkahwin, kami sama-sama bergelumang dengan daging ayam (6 ekor)/lembu (5 kilo) berperap rempah ratus. Kini dia sibuk dengan dua anak kecil. Che Chik bantu-bantu juga, namun dia selalunya sudah lelah sepetang menumbuk kacang tanah goreng dan membantu Emak menyediakan kuah nasi himpit. Sepeninggalan aku ini, entahlah siapa mengambil alih posisi.
Aku tidak berjalan-jalan pada hari raya. Pernah satu tahun, kasut raya tidak dipakai sehinggalah Syawal ketiga. Cuma menziarah pusara Chek dan Tok serta singgah di rumah Pak Mat di sebelah kawasan perkuburan. Selebihnya, aku di rumah, menolong Emak memastikan minuman dan juadah untuk para tetamu tidak surut, menonton rancangan-rancangan istimewa hari raya di kaca tv [dihalau masuk ke dapur jika ada kunjungan] serta mengutip duit raya [peraturan keluarga kami, selagi tidak bekerja selagi itu layak menerima. Jika sudah makan gaji, maka menjadi kewajipan untuk memberi pula].
Dulu, saat paling berat adalah untuk meninggalkan desa setelah puas berhari raya dan kembali ke destinasi masing-masing. Ayah dan Emak ke Ipoh. Abang Lan dan Kak Zan ke Raub. Abang Di dan Kak Ida, Che Chik, Kak Sah dan Abang Mizan ke Kuala Lumpur.
Tetapi bagi aku, meraikan kedatangan Syawal berseorangan nun beribu-ribu batu di perantauan lebih mengharukan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
P.S Manchester United lawan Kobenhavn di Old Trafford [Oktober 17, 1230, ESPN 2 - Perlawanan terakhir Pusingan Kelayakan Peringkat Kumpulan F - kredit kepada jiran kerana mengingatkan]
Sunday, October 15, 2006
[+/-] |
Ramadhan 24 - Makan |
Menu berbuka hari ini ringkas sahaja. Tauge masak lemak kuning, ayam goreng dan sambal belacan. tetapi nasi tiga cawan ditanak selalu-selalu tidak luak - licin! Biasalah, orang kampung. Hidangan-hidangan sebegini memang kegemaran kami.
Makan lewat malam, aku bercadang membuat kuih cek mek molek saja, lewat terkerling ubi keledek madu sudah dua minggu terperuk di dalam peti ais. Wani mahu menggoreng bihun. Kami sepakat mula bekerja selepas terawih.
Tersilap percaturan, kuih banyak. Bihun penuh kuali. Tak apalah, ini bukan pembaziran, tetapi rezeki jiran-jiran!
P.S Jenguk-jenguklah MimpiMilan di laman Putri Saadong!
Saturday, October 14, 2006
[+/-] |
Ramadhan 23 - Kenangan |
Sebentar tadi, aku berbual ringkas dengan seorang bekas teman sekolahan sudah hampir tiga musim terputus hubungan. Kami tidaklah rapat sangat dahulu, namun penglibatan dalam pasukan kuiz sehingga mewakili negeri ke peringkat sub-nasional telah membuka personaliti kami kepada satu sama lain.
Dia dari aliran sains tulen. Aku di kelas sains teknikal. Ada jurang antara kami. Selalu juga sikap berpuak-puak muncul (amalan ini berterusan ke KMB). Aku sering mengklasifikasikan dia sebagai pelajar 'bio' yang stereotaip; pintar, rajin, baik dan skematik. Tambah pula, dia naib ketua pelajar (terkejut juga apabila dia gagal memperoleh jawatan tertinggi itu!), murid kesayangan guru-guru dan dinobatkan tokoh pelajar mithali tahun itu.
Namun sebenarnya, dia seorang yang 'happy-go-lucky,' tidak ralat melawak dan sangat selesa untuk didampingi. Dia alim, pengerusi badan agama sekolah dan sering di surau. Saban kali dia mengimamkan solat Zuhur, Maghrib atau Isyak berjemaah, aku cukup suka. Kerana dia tidak 'mendera' ahli jemaah dengan bacaan-bacaan panjang. Seakan-akan memahami tuntutan jadual masa yang ketat.
Selari cita-cita, dia kini menuntut di salah sebuah sekolah perubatan di Persekutuan Russia. Tak sempat aku bertanyakan di mana, kerana dia meminta diri mahu ke masjid.
' Biasalah, imam katakan.'
Gurauan itu melontarkan ingatan ke daerah waktu musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2002. Dia sering memimpin jemaah berterawih. Aku rindu kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci, kelirihan rintihan tatkala memanjatkan doa dan kelantangan melaungkan selawat dan puji-pujian kepada Tuhan dan Rasul.
'Kalau rindu, datanglah ke sini.'
Pelawaan itu ikhlas. Tiada maksud tersembunyi. Namun aku terkesima, terjeruk rasa.
Ah, teman. Kalaulah kau tahu!
P.S Manchester United menang 3-1 menentang Wigan. Afni, thanks a lot for talking me out of whatever we talked about the other day!Friday, October 13, 2006
[+/-] |
Ramadhan 22 - Refleksi Masa |
Perancangan.
Aku kekurangan elemen penting ini. Waktu berbuka lebih kurang tiga jam, hari ini giliran memasak, tetapi satu menu pun belum ada. Itu soal makanan, perancangan masa lebih-lebih lagilah. Minggu depan ada dua ujian bakal di hadapi dan dua kerja rumah bakal dikutip. Projek penilaian akhir semester. Soalan-solan kredit tambahan. Belum campur lagi tuntutan tugasan peribadi tidak bersifat akademik (tetapi berbentuk ilmiah juga).
Itulah. Siapa suruh ambil kelas banyak-banyak?
Pegangan aku begini. Lebih baik kepenatan setelah seharian sibuk bekerja. Jika tertidur sebelum jam sepuluh malam pun, ia terjustifikasi. Tetapi andai tidur petang kerana terlampau banyak waktu senggang?
Mati semut kerana gula. Aku pernah terdengar tetapi lupa di mana; Belia yang terlampau banyak waktu lapang akan terbunuh oleh kelapangannya itu. Aku pernah sengaja mengosongkan sehari suntuk untuk fokus menulis. Namun idea tidak kunjung datang. Sudahnya, satu hari terlepas tanpa sebarang hasil. Dikenang-kenang kembali, aduh, ruginya!
Aku bukanlah manusia yang hebat sangat dalam pengisian masa. Kerap kali bertangguh-tangguh juga (terutamanya untuk bangkit solat Subuh). Tetapi sekurang-kurangnya, alasan 'tiada masa' untuk tidak melakukan sesuatu sudah jarang-jarang terucapkan. Semua orang dikurniakan 24 jam sehari. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mencari jam kedua puluh lima. Berjaga malam. Bangun awal. Mencuri lima sepuluh minit antara kelas-kelas.
Alangkah mudahnya jika kehidupan di universiti seperti zaman sekolah menengah. Aku di sekolah berasrama penuh, maka jadual belajar diatur pentadbiran sekolah. Tiada istilah 'malaslah studi hari ni' kerana kelas-kelas prep adalah wajib. Waktu padat oleh aktiviti. Apabila meletak kepala di atas bantal pada malam hari, aku boleh tidur lena kerana puas hari penuh terisi.
Sekarang? Terus-terang, kadang kala terasa bersalah untuk melelapkan mata biar jam sudah dua pagi!
Pada aku, tidak perlu jadual waktu yang rigid. Aku lebih gemar merancang 'dalam kepala.' Contohnya, selepas ulangkaji Spanish, ulangkaji Statics. Kemudian buat practice exam sebelum langsaikan bonus problem. Perancangan dalaman ini penting bagi aku, agar ada sesuatu to look forward to. Jika tiada, mulalah nanar tanpa tujuan. Menonton tv juga adalah agenda yang dirancang terlebih dahulu. Sebab itu aku hanya menonton rancangan-rancangan tertentu (Grey's Anatomy, misalnya. Derek sudah meninggalkan Meredith!).
Ayah ada berkongsi formula 'watching tv just for the sake of watching.' Katanya, mula menonton sesuatu program di pertengahan. Kita tidak kenal watak, tidak faham plot, tidak tahu hujung pangkal intipati cerita. Kebosanan timbul selepas lima atau sepuluh minit. Kita akan meninggalkan kaca televisyen dan kembali menghadap tugasan yang belum selesai. Aku selalu cuba. Ternyata mujarab.
Oleh itu, aku berazam untuk merancang kemas-kemas itinerari kembara musim sejuk hujung tahun kelak. Enggan menjadi pengembara impulsif seperti pengembaraan ke kota New York tempoh hari. Biarlah kembara ini padat dan berisi. Entah bila akan berkesempatan (waktu dan kewangan) lagi!
Thursday, October 12, 2006
[+/-] |
Ramadhan 21 - Street Lit: Fad or Phenomenon? |
(Dicetuskan daripada artikel Hustle and Grow oleh Ta-Nehisi Paul Coates dalam Time edisi 16 October 2006)
Industri buku di Amerika Syarikat mengiktiraf kewujudan satu lagi genre baru; Street Lit. Selari namanya, genre ini mengangkat kritikan sosial golongan kulit hitam yang 'hidup' di jalanan. Tidak semestinya, tidak berumah, tetapi lebih menjurus cara hidup jalanan seperti menyeludup dadah, melacur dan mengutip ufti kawasan dari kekuasaan demi sesuap nasi.
Street lit bermula sudah lama. Lebih kurang sepuluh tahun. Tetapi baru establish. Ini permasalahan biasa. Bukan mudah mewujudkan genre baru. Jika setakat seorang dua menulis dengan katalah dua judl seorang setahun, belum mampu mencipta genre. Apabila sudah ramai, dan judul sudah penuh satu rak di kedai-kedai buku, barulah khalayak akan perasan.
Tidak kurang juga kerenah syarikat penerbitan yang enggan mengambil risiko (Berniaga itu sendiri kan namanya berisiko. Malah salah satu faktor pengeluaran adalah keusahawanan, yang apabila didefinisikan, bererti pengetahuan teknikan dan kesediaan mengambil risiko). Ini memaksa penulis-penulis yang mampu, mencetak sendiri karya-karya mereka. Apabila berjaya di pasaran, barulah penerbit-penerbit gergasi berebut-berebut. Ini kisah kejayaan Vickie Stringer.
Namun apa yang menarik tentang penulis-penulis street lit (K'wan, Relentless Aaron, sekadar menyebut beberapa nama - khabarnya 50 Cent kini juga menulis)ini, kaki mereka kuat terpasak di bumi. Wang tidak mengelabui pertimbangan. Benar mereka tidak lagi tinggal di project housing (tidak salah berili jika untuk kebaikan), tetapi tetap tidak ralat untuk terus bergaul dengan komuniti di situ.
Dengan menggunakan pendekatan berbeza. Melalui buku.
Aku ucapkan Selamat Maju Jaya kepada Puan Ainon Mohd, Presiden Universiti Terbuka PTS kerana kegigihan beliau. Semoga cita-cita menjelmakan jibunsyi sebagai genre baru dalam dunia kesusasteraan tanah air terlaksana.
Insya Allah.
P.S Emak, Ayah, Angah, Achik dan Lin, terima kasih atas kiriman kad-kad raya dari kalian. Along cuma mengharapkan satu, tiba-tiba menerima empat sekaligus. Kad-kad kalian sudah diletakkan di tempat selayaknya. Salam Aidilfitri.
Wednesday, October 11, 2006
[+/-] |
Malam Ramadhan 20 |
Gelegar.
Setanggi.
Entah mengapa, dua perkataan ini lama bermain-main di benak.
Saban kali 'gelegar' terngiang-ngiang, pasti terkenang rumah lama Chek dan Tok di Kelaweh. Rumah kayu berlantai tinggi terletak betul-betul di tebingan Sungai Kelantan. Kelakarnya, sepanjang sepuluh tahun sempat berkongsi hayat keduanya, aku tidak pernah sekali pun melihat air sungai nan keruh dari dekat. Semak samun di seberang jalan terlalu tebal. Cerita-cerita emak tentang kewujudan buaya sedikit sebanyak turut menakutkan.
'Setanggi' pula, aku teringat Di Mana Setangginya karya Datuk Nordin Hassan. Bila agaknya akan dipentaskan lagi naskhah agung ini? Juga teater Sarah. Sayang aku terlepas pementasannya sewaktu pulang ke tanah air tempoh hari. Menarik kisah perempuan Yahudi dari keturunan Nabi Ibrahim dan nabi Ishak yang memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Muslim berdarah kacukan Arab.
Kata Achik, Ayahanda sudah mengirim kumpulan buku pertama yang aku pesan dari Ujana Ilmu. Jika tidak salah, semuanya karya Faisal Tehrani. Tunggu Teduh Dulu, Rahsia Ummi, Lagi lagi Cerpen Underground (kolaborasi dengan Saharil Hasnin) dan Kombat [1511H]. Tak tahu pula sama ada buku kiriman/karya Ashadi Zain (aku dapat percuma sempena Program Derma Buku), Dari Kepala Batas ke New Haven disertakan bersama.
Team Ujana Ilmu juga telah menghantar kumpulan cerpen Puan Nisah Haron, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus dan Impian Tsu Ryi, bersama sebuah novel nukilan Abu Hasan Morad, Buatmu Puteri. Terima kasih kepada Encik Shukri, Webmaster, kerana menguruskan permintaan 'luar biasa' aku. Kepada Puan Nisah, terima kasih juga kerana menandatangani buku-buku berkenaan.
Kini aku mendamba Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Berbuah Surga karya Habiburrahman El Shirazy dari Indonesia. Khabarnya novel-nvel cinta Islamik meletup di sana sekarang. Hendak juga aku tinjau bentuk penulisannya. Awas, bukan meniru! Tetapi menganalisis. Formula apa digunapakai sehingga belia-belia Indonesia tidak ralat membaca karya-karya berisi sebegitu. Manalah tahu, andai sesuai, boleh diaplikasikan menggunakan acuan kita sendiri untuk menghasilkan santapan minda buat remaja-remaja kita pula.
Memetik intipati 'Resipi Dari Istana' karya Puan Nisah yang tersiar dalam Berita Minggu beberapa minggu lalu, bahan bacaan umpama makanan. Takkan selama-lama kita mahu hanyut dan layu dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat?
P.S Jid, kau diam selepas mesej terakhir aku. Aku tersalah cakapkah?
P.P.S Fatimah Az-Zahra' Sha'ari di Melbourne University, saya tiba-tiba teringat awak!
Sunday, October 01, 2006
[+/-] |
Ramadhan 9 |
Pengalaman. Mendewasakan.
1. Kerbau dipegang pada tali, kita dipegang pada janji, yang kemudiannya kita mungkiri belum pun genap dua minggu diungkapi.
2. Kita adalah pelakon-pelakon pentas realiti terhebat. Jika ada anugerah setanding Oscar atau Palme d'Or untuk drama-drama realiti yang kita lakonkan, ah, tentu kita pemenangnya.
3. Kita mengaku, atau menyangka kita terhebat, namun hakikatnya, pemikiran kita totok, setotok-totok pandangan seekor kodok pisang berkulit menggerutu berwarna hijau tua terperangkap di bawah tempurung kelapa kering.
4. Kita mengata orang mudah melatah, pandang dijentik mulalah membising menegakkan benang yang basah. Sedangkan kebenarannya, kitalah orang yang melatah-latah laksana Mak Timah itu, dengan harapan simpati diraih daripada golongan yang tiada pendirian tetap dan tidak boleh menilai baik buruk sesuatu dengan pemikiran sendiri.
5. Kita tidak sempurna. Belajarlah menerima kenyataan. Berhenti mengelabui persepsi orang luar suku sakat dengan kenaifan kita yang dibuat-buat. Cuba-cubalah berubah ke arah pembinaan insani yang cemerlang.
Pengalaman. Mengajar.